Japen pergiat promosi sambutan Hari Malaysia 2022 di pelbagai medium
MELAKA, 14 September – Jabatan Penerangan (Japen) Melaka mempergiatkan hebahan dan promosi sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir pada 16 Sept ini, menerusi pelbagai medium untuk menarik lebih ramai pengunjung memeriahkan sambutan itu.
Pengarahnya Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata ia termasuk hebahan menerusi ‘Info on Wheels’ (IOW) ke setiap daerah di negeri itu membabitkan Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin untuk mengajak rakyat datang ke acara yang julung kali diadakan di Semenanjung itu.
“IOW ini dipergiatkan tiga kali sehari di sepuluh lokasi terpilih dengan tumpuan di kawasan orang ramai, pasar malam, pusat perniagaan selain pelosok kampung.
“Membawa tema busana era 50-an dan 60-an sempena sambutan itu, kita ingin mengajak orang ramai sama-sama hadir pada malam tersebut untuk meraikan tarikh bersejarah pembentukan Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrom berkata Japen juga telah memasang 610 gegantung dan 22 papan iklan statik menghiasi jalan raya sekitar negeri itu sejak 1 Ogos lepas untuk mempromosikan acara berkenaan kepada orang ramai.
Katanya pelbagai persembahan menarik disusun bagi mewarnai sambutan yang akan mengimbau sejarah pembentukan Malaysia di antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Kita berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara yang penuh warna-warni dan bersejarah itu, di samping menyemarakkan lagi rasa cintakan tanah air.
“Mereka juga boleh menyaksikan siaran langsung menerusi semua stesen penyiar atau Facebook Live @KEMENTERIANKOMUNIKASIDANMULTIMEDIA, atau Jabatan Penerangan Malaysia dan @merdeka360.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.