Jangan tuduh nelayan Melaka ceroboh

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jun – Dakwaan nelayan Melaka menceroboh perairan Negeri Sembilan disifatkan sebagai keterlaluan, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurut beliau, dakwaan itu seolah-olah menggambarkan nelayan Melaka seperti pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelas Dr. Muhamad Akmal, isu tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan nelayan tidak memahami persempadanan sebenar di antara dua negeri itu.

Justeru, beliau berkata, Jabatan Perikanan bersama-sama Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu menunjukkan garis sempadan tepat kepada nelayan kedua-dua negeri.

“Kadang-kadang nelayan ini bukan sengaja atau dengan niat melepasi sempadan. Apabila mereka melabuhkan jaring, ada masanya jaring itu hanyut dan mereka juga tiada pemahaman jelas tentang sempadan itu.

“Apa sekalipun, kita ada jabatan yang akan memantau. Jika benar terbukti ada pelanggaran, barulah tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 Kepada Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Timbalan Pengarah Perikanan Melaka Nawar Abd Karim.

Dalam perkembangan lain, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan isu rumah nelayan Kuala Linggi yang sebelum ini tergendala.

Beliau memberi jaminan, isu itu dapat diselesaikan dan penyerahan kunci akan dilaksanakan pada Ogos depan.

“Terima kasih kepada semua agensi yang memberikan kerjasama cukup tinggi bagi msnyelesaikan masalah ini.

“Insya-Allah dalam dua bulan lagi, semua 60 rumah nelayan di Kuala Linggi ini akan diserahkan kepada penerima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2369
Kongsi :
Previous post Pampasan nelayan terjejas KLIP selesai September ini
Next post Nelayan Melaka ceria sambut Aidiladha
Ubah saiz-+=