JANGAN ‘SIDAI’ RAKYAT, BUKA KAUNTER WAKTU REHAT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

Ketua Menteri berkata, langkah itu antara yang digariskan dalam memberi perkhidmatan terbaik dan mempermudahkan urusan rakyat di negeri ini.

Menurut Ab Rauf, arahan terbaharu itu akan menyaksikan semua kaunter akan tetap dibuka walaupun ketika waktu makan tengah hari, dan pegawai terlibat dikehendaki bertugas secara penggiliran.

“Maksudnya selepas ini, semua kaunter perkhidmatan sama ada kaunter agensi Kerajaan Negeri atau Persekutuan mestilah menjalankan urusan pada waktu rehat dengan kaedah penggiliran pegawai bagi menyantuni urusan rakyat.

“Saya tidak mahu lagi rakyat ‘disidai’ pada waktu rehat, sedangkan segala urusan itu boleh dilakukan dalam mempermudah segala urusan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan September 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta para penjawat awam Negeri Melaka.

Jelas Ab Rauf, aspek integriti dan keberkesanan penjawat awam perlu diberi penekanan kerana ia sangat penting dalam menyempurnakan segala dasar yang dibuat.

Beliau turut mengingatkan para penjawat awam agar tidak membocorkan maklumat atau rahsia rasmi kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sesiapa sahaja.

Tegas beliau, hukuman berat boleh menanti mereka yang melakukan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi atau Official Secrets Act (OSA), termasuk ditahan tanpa waran dan tidak dibenarkan untuk ikat jamin.

“Jadi, saya nasihatkan semua penjawat awam di negeri ini agar berhati-hati dan tidak menyampaikan apa jua bentuk maklumat rasmi kerajaan kepada orang luar, bahkan keluarga terdekat, suami isteri, rakan-rakan atau sesiapa sahaja kerana ia boleh melanggar Akta Rahsia Rasmi yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1374
Kongsi :
Previous post MELAKA LANJUTKAN INISIATIF PARKIR PERCUMA SEMINGGU LAGI
Next post MELAKA REKOD 10.16 JUTA PENGUNJUNG SETAKAT OGOS
Ubah saiz-+=