Jangan persoal perjuangan, iltizam UMNO terhadap perpaduan Melayu
Dalam nada tegas, beliau berkata seruan kepada perpaduan ummah mesti dibaca dalam konteks yang lebih besar dan mestilah benar-benar bertujuan menyatukan semua orang Melayu, merentasi ideologi politik, kepentingan kuasa dan status sosial.
“Saya ingin membuat penegasan penting bahawa sebagai gerakan yang telah lama memperjuangkan orang Melayu, iltizam UMNO terhadap kepentingan ummah jangan sesekali dipersoalkan. Yang berpolitik atau tidak, yang berparti atau tidak, dan yang dalam kerajaan mahupun pembangkang, semuanya akan kita pandang dan kita undang. Rukunnya hanya satu, iaitu Melayu!
“Maka dengarlah wahai seluruh perwakilan UMNO dan bangsa Melayu, saya tegaskan dengan setegas-tegasnya bahawa perpaduan bangsa Melayu adalah cita-cita besar yang UMNO telah dan akan terus dukung dengan tegas dan setia.
“Ia tidak akan kami lacurkan dalam matlamat politik yang sempit… ia tidak akan kami leburkan dalam perlumbaan kuasa yang tidak cerdik. Yang akan UMNO usahakan ialah perpaduan seluruh bangsa Melayu,” katanya ketika merasmikan serentak persidangan tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 hari ini.
Mohamad berkata perpaduan Melayu bukanlah sekadar mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu, sebaliknya turut membabitkan soal perpaduan nasional dan kedua-duanya perlu bergerak seiring serta saling diperkuat.
“Alasannya mudah, masa depan Malaysia tidak akan cerah dan mencukupi dengan jaminan perpaduan Melayu sahaja. Tetapi, jaminan masa depan Malaysia yang baik harus hadir bersama perpaduan semua kaum…perpaduan yang saling berakar, mengukuh satu sama lain demi Malaysia yang kita cintai,” katanya.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) katanya merupakan entiti politik yang dinamik dan progresif, yang sentiasa terbuka terhadap segala rumusan baharu dalam politik malah sedar bahawa perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
“Maka demi masa depan Malaysia, UMNO melalui BN wajib meneroka semua kemungkinan yang wujud untuk dimanfaatkan. Jadi, berbekalkan keanjalan yang UMNO dan BN ada ini, ia memungkinkan kita untuk `memeta pembaikan politik’, atau ‘political correctness’ yang baharu dan strategik,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata pembaikan politik yang ingin diteroka dan ditimbang mestilah dipasak dengan nilai, prinsip dan syarat-syarat ketat yang menguntungkan parti, orang Melayu dan Islam keseluruhannya.
“Perjuangan dan kepentingan orang Melayu serta Islam tidak akan ditinggalkan dan dikompromikan oleh UMNO. Apa guna memegang kuasa kalau Melayu binasa, apa guna bekerjasama kalau Melayu kekal di takuk lama,” katanya.
Bagi pembaikan politik, UMNO kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau itu akan menyantuni dan meneroka persefahaman dengan semua pemegang taruh termasuk bukan parti politik, kerajaan, bukan kerajaan, rakyat biasa atau golongan pemodal dan golongan tua serta remaja.
“Kalau kita benar-benar mahu memeta satu pembaharuan politik, saya jamin kepada semua, bahawa kepimpinan UMNO akan mengambil pendekatan berhati-hati,dengan perkiraan jangka masa panjang yang matang.
“Ia akan berpandu nilai, mendapat dukungan akar umbi parti, terangkum dan tidak meminggirkan mana-mana pihak. Insya-Allah, pembaikan politik yang UMNO usahakan akhirnya mesti menjadikan politik di Malaysia lebih baik, dan dengan politik yang lebih baik ini, UMNO akan mengusahakan sebuah pemerintahan, yang berpotensi memulihkan Malaysia,” katanya.
Mohamad berkata beliau pasti ramai yang mula membuat perkiraan dan telahan termasuk soal siapa yang akan UMNO pilih untuk didampingi kelak dan turut menegaskan setakat ini, parti yang berusia 75 tahun itu belum ada sebarang ketetapan dan menyerahkan kepada masa untuk menentukan.
“UMNO dan BN ini adalah entiti politik. Ia hidup, dinamik dan progresif. Ia sentiasa dengan segala rumus baharu dalam politik. Ia bukan entiti pegun yang tidak berevolusi. UMNO sedar bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya kesatuan dalam UMNO terus diperkasakan dan tidak berpecah belah demi masa depan parti.
Perasmian persidangan sayap berkenaan dihadiri Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan.
Persidangan berkenaan yang diadakan selepas setahun ditangguh susulan COVID-19, dihadiri kira-kira 700 orang perwakilan dan diadakan secara hibrid.
Acara perasmian berkenaan turut dihadiri ketua Wanita dan Pemuda parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).