Sorting by

×

Jangan ‘peram’ pemain muda

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PEMAIN muda harus diberikan pendedahan dalam saingan liga kompetitif jika mahu melahirkan lebih ramai bintang bola sepak dari Negeri Bersejarah, Melaka.

Pandangan itu dilontarkan bekas pemain tengah Melaka era 90-an, Datuk Ong Kim Swee ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di kediamannya di Lorong Pandan, baru-baru ini.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, bagi menggilap permata bola sepak baharu, program akar umbi bola sepak harus diberikan tumpuan utama di negeri ini.

Katanya, menerusi program akar umbi itu, pendedahan berterusan perlu diberikan bagi mengelakkan bakat yang ada dipersiakan.

“Untuk mencungkil pemain muda berpotensi, kita harus memberikan tumpuan utama kepada akar umbi menerusi program Pusat Latihan Daerah dan juga Sekolah Sukan Negeri (SSN).

“Selepas itu, bakat-bakat ini perlulah diberi pendedahan lebih kerap termasuk membenarkan mereka beraksi dalam saingan liga-liga yang kompetitif.

“Melalui pendedahan sejak akar umbi ia akan membantu Melaka melahirkan pemain yang cukup berkualiti. Tetapi ingat, untuk ke arah itu, kita masih perlukan masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Kim Swee percaya Melaka kini berada dalam landasan tepat ke arah melahirkan lebih ramai pemain bola sepak handalan seperti legenda, Datuk Soh Chin Aun.

Menurutnya, Melaka kini dilihat semakin aktif menganjurkan liga-liga bola sepak di pelbagai peringkat, sekali gus memberi petanda positif ke arah pembangunan bola sepak yang lebih gemilang.

“Kita nampak banyak perubahan sejak kebelakangan ini. Jadi, saya berharap Melaka terus konsisten menganjurkan liga-liga bola sepak ke arah memajukan lagi industri bola sepak di negeri ini,” ujarnya.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Misi besar skuad Hang Tuah
Next post Peniaga harap ada sinar pulihkan perniagaan
Ubah saiz-+=