Sorting by

×

Jangan panik nampak MPV depan sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDAR MELAKA 30 September – Unit kereta peronda (MPV) polis akan terus memantau keadaan di sekolah-sekolah seluruh negeri ini sebagai rutin pemantauan keselamatan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, rondaan itu dilakukan bukanlah disebabkan berlaku peningkatan kes jenayah di sekolah-sekolah seperti kes culik yang didakwa sejak akhir-akhir ini.

Sebaliknya, ia rondaan rutin itu merupakan tugas biasa anggota polis bertujuan menjaga keselamatan dan ketenteraman sesuatu kawasan.

Justeru, beliau meminta ibu bapa atau penjaga agar tidak panik sekiranya terlihat kelibat MPV polis berada di sekolah-sekolah tertentu.

“Rondaan itu memang rutin dan tanggungjawab polis. Jadi tidak perlu panik.

“Jika orang ramai ada mendapat maklumat meragukan, janganlah disebar atau dikongsi kepada orang lain, sebaiknya tanya dahulu kepada polis kerana ia adalah satu kesalahan jika menyebar maklumat tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) tanpa istiadat kepada pesara polis yang bertugas semasa era darurat di Kampung Durian Daun, di sini, semalam.

Dua bekas anggota polis Rahim Baba yang berkhidmat selama 33 tahun dalam pasukan PDRM dan Allahyarham Puteh Ahmad yang diwakili anaknya, Datuk Dr Baharuddin Puteh menerima P.J.P.N pada majlis itu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka, Ashwad Abd Rahim.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zainol berkata, pihak polis mengalu-alukan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk bersama-sama membantu dalam kerja-kerja penyelamatan jika berlaku bencana.

Ia berikutan Fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula pada 3 Oktober hingga penghujung November yang diramal membawa hujan lebat dan ribut petir yang berpotensi menyebabkan banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1694
Kongsi :
Previous post Ahli perniagaan dilarikan Vellfire putih dipercayai kerana hutang
Next post MySejahtera rekod lebih 250,000 individu disaring untuk penyakit tidak berjangkit
Ubah saiz-+=