Sorting by

×

Jangan naikkan harga barang sesuka hati – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MERLIMAU 11 April – Peniaga yang berniaga sepanjang Ramadan diingatkan supaya tidak sesuka hati menaikkan harga barang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, semua peniaga perlu memahami kepayahan orang ramai yang masih bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi tidak menentu.

Katanya, bagi memastikan kenaikan harga tidak berlaku sepanjang Ramadan, beliau mengarahkan agensi penguatkuasa berkaitan supaya memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap keadaan sukar itu.

“Saya meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memantau harga yang ditetapkan peniaga dengan kadar berpatutan dalam keadaan sukar serta keadaan ekonomi tidak menentu.

“Saya mohon kepada semua jenis perniagaan, sama ada mereka yang berniaga di bazar, pasar tani Ramadan serta pasar malam janganlah harga barangan dinaikkan sesuka hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Pasar Tani Pra Ramadan Merlimau, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan bekalan makanan sepanjang Ramadan mudah diperolehi dan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

Sementara itu, Ghazale berkata, FAMA sentiasa menjalankan pemantauan dari segi prosedur operasi standard (SOP) di 13 pasar tani pra Ramadan yang dibuka sepanjang bulan itu.

“Ia melibatkan seramai 300 usahawan FAMA dan sasaran nilai jualan berjumlah RM500,000 menerusi penglibatan outlet FAMA.

“Setakat ini, bekalan mencukupi kerana kalau kita lihat bekalan makanan kebanyakan dihasilkan sendiri petani dan dipasarkan di pasar berkenaan, jadi tiada masalah mengenai perkara itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post Melaka perkenal subsektor pelancongan agama
Next post Murid SJKC Bukit Beruang positif COVID-19
Ubah saiz-+=