Jangan lupa Jualan Ihsan Rahmah TMM2024 setiap 24 hari bulan
AYER KEROH 15 Februari – Sebanyak 24 barangan keperluan harian dijual dengan potongan harga sehingga 30 peratus menerusi Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada setiap 24 hari bulan, sepanjang tahun ini.
Melaka menjadi negeri pertama diperkenalkan program berkenaan yang dikelolakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, Jualan Ihsan Rahmah pada 24 hari bulan setiap bulan itu melibatkan sebanyak 11 pasar raya utama di negeri ini, selain 58 premis peruncitan.
“Orang ramai dipelawa untuk datang pada tarikh tersebut bagi mendapatkan barang keperluan harian yang dijual dengan harga lebih rendah dan potongan harga bermula 10 hingga 30 peratus.
“Antara barangan itu adalah bihun 400g/300g, santan 250ml/500ml, susu krimer manis 500g, ikan bilis, biskut cream cracker, minyak masak 5kg (kilogram), tepung cap sauh/ros, lampin pakai buang bayi, beras super import 10kg, beras super import 5kg, ayam, telur ayam gred C dan ikan.
“Selain itu, sabun basuh pinggan, ikan sardin 425g, cili sos 320g/725g, teh, kicap 650ml/325ml, bawang besar, sayur-sayuran, sabun mandi, gula, buah-buahan dan serbuk pencuci baju juga antara barangan yang diberikan potongan harga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sebelum ini Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif dilaksanakan KPDN itu bukan hanya memberi impak kepada rakyat Melaka, malah turut dinikmati pengunjung dan pelancong yang datang ke Negeri Melaka sempena TMM2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.