Jangan ‘liat’ jelaskan cukai taksiran – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Pemilik kediaman dan bangunan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) digesa supaya menjelaskan cukai taksiran premis mereka.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipertanggungjawabkan, pihaknya memandang serius isu tunggakan cukai yang berlaku sehingga ada pemilik aset yang seolah-olah mengambil ringan terhadap perkara tersebut.

Jelas beliau, antara kediaman atau premis yang mengalami masalah tunggakan cukai taksiran adalah di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Berdasarkan rekod, kebanyakan tunggakan cukai ini berlaku di kawasan bandaraya, sehinggakan ada di antara premis atau kediaman tidak menjelaskan cukai taksiran selama lima tahun.

“Daripada pemerhatian dan semakan dibuat hal ini berlaku kerana kebanyakan rumah ini disewakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shadan, cukai itu diperlukan pihaknya termasuk juga PBT lain bagi membolehkan perkhidmatan terbaik diberikan termasuk menyelesaikan kemudahan fasiliti.

“Dengan adanya cukai ini atau bila mana ada kesedaran untuk penduduk jelaskan cukai dalam tempoh ditetapkan, insya-Allah PBT akan lebih efisien untuk berikan perkhidmatan di kawasan sekitar.

“Jangan fikir bila bayar cukai kami akan bersihkan rumah atau jalan di perkarangan rumah mereka. Pembayaran cukai ini kita gunakan bagi perkhidmatan lain seperti naik taraf infrastruktur termasuk selenggara longkang, bina pasar dan lain-lain.

“Malah dengan hasil daripada pembayaran cukai ini juga kita gunakan bagi menyelesaikan isu yang berbangkit seperti banjir kilat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post Ab Rauf akan bawa usul ke MKT
Next post Saliran tersumbat punca banjir kilat di Lebuh SPA Gangsa
Ubah saiz-+=