Sorting by

×

JANGAN LEPASKAN PELUANG MASUK PERCUMA KE 13 DESTINASI PELANCONGAN – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR 18 Februari – Rakyat Malaysia khususnya orang Melaka diharap tidak melepaskan peluang dan memanfaatkan tawaran luar biasa, iaitu kemasukan percuma ke 13 destinasi pelancongan di negeri ini bersempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara 20 Februari ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, lokasi menawarkan kemasukan percuma pada tarikh berkenaan adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Muzium-muzium di bawah Muzium & Galeri Melaka (PERZIM), Zoo Melaka, Melaka Wonderland Theme Park, A’Famosa Water World, Muzium Penjara Malaysia Melaka, Kompleks Air Panas Gadek, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Air Panas Cherana Putih, Melaka River Park, Kompleks Kraf Melaka dan lima Kelab Golf di Melaka.

“Saya sekali lagi mengajak seluruh rakyat Melaka dan Malaysia agar memanfaatkan peluang ini, kerana tawaran masuk percuma ke 13 destinasi pelancongan terpilih hanya akan berlangsung sehari sahaja.

“Apa yang penting, jika anda rancang perjalanan ke Melaka pada 20 Februari nanti, saya titipkan nasihat berhati-hati ketika memandu di jalan raya,” katanya yang ditemui selepas menghadiri sesi temubual berkenaan promosi sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 20 Februari 2025 di program Malaysia Hari Ini (MHI), di Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) Jalan Riong, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad serta Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, Kerajaan Negeri Melaka turut mengadakan pelbagai program bertujuan mengajak rakyat Malaysia mengenang dan menghayati makna kemerdekaan.

“Usaha ini adalah untuk memastikan semangat kebangsaan terus berkobar dalam kalangan rakyat Malaysia, selain memperkukuh jati diri kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka.

“Saya mengajak semua rakyat terutamanya anak muda, untuk hadir pada acara Rapat Umum Bahtera Merdeka yang diadakan di sebelah malam di Bangunan Stadthuys, rasai sendiri semangat perjuangan kemerdekaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post HIDUPKAN NOSTALGIA TAHUN 1956 PADA 20 FEBRUARI INI
Next post WASPADA TAKTIK PENIPUAN GUNA TEKNOLOGI AI