Sorting by

×

JANGAN LEPASKAN PELUANG, 13 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA DI MELAKA, ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 19 Februari – Rakyat Malaysia diharap tidak melepaskan peluang untuk menikmati kemasukan percuma ke 13 produk pelancongan terpilih dalam Negeri Melaka, esok.

Tawaran istimewa itu diberikan bersempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari.

Antara produk pelancongan terpilih yang menawarkan insentif itu adalah Melaka River Cruise; Menara Taming Sari; muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM); Zoo Melaka dan Kompleks Air Panas Gadek.

Selain itu, ia turut membabitkan Melaka Wonderland Theme Park; A’Famosa Water World; Air Panas Cherana Putih; Muzium Penjara Malaysia Melaka; Balai Cerap Al-Khawarizmi; Melaka River Park; lima kelab golf di Melaka dan Jom Membatik @ Kompleks Kraf Melaka.

Menurut kenyataan Tourism Melaka, kesemua produk pelancongan itu menawarkan kemasukan percuma bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang, kecuali A’Famosa Water World bermula jam 10 pagi.

Orang ramai bagaimanapun perlu mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan setiap produk pelancongan, antaranya pendaftaran melalui kod QR, diwajibkan mengikuti media sosial produk pelancongan tertentu, selain ada yang menetapkan kuota terhad kepada pengunjung.

Maklumat lanjut berhubung terma dan syarat boleh didapati di laman sosial Tourism Melaka dan setiap produk pelancongan yang menawarkan insentif masuk percuma itu.

Untuk rekod, tahun ini merupakan edisi kedua tawaran kemasukan percuma oleh Kerajaan Negeri Melaka sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari.

Tahun lalu, inisiatif itu berjaya menarik 109,742 pengunjung dan pelancong menerusi 11 produk pelancongan yang menawarkan tiket percuma.

Selain itu, lebih 50,000 pengunjung lagi direkodkan pada acara kemuncak yang diadakan pada sebelah malam iaitu Majlis Memperingati Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post PERSIDANGAN WARISAN AKAN DIJADIKAN ACARA TAHUNAN
Next post SEJAM KEJAR LORI 5 TAN ‘MENGGILA’ SEBELUM REMPUH RUMAH