Jangan lepaskan anjing peliharaan di kawasan awam – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

SERI NEGERI 28 November – Kerajaan Negeri menegaskan kepada semua pemilik anjing supaya tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka di kawasan awam bagi menjaga keselamatan penduduk sekitar.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pemilik anjing perlu mendaftar haiwan peliharaan itu bagi mendapatkan lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa terbuka dan menggalakkan mana-mana persatuan pencinta haiwan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan kebajikan haiwan ini terpelihara.

“Tetapi perlu mengikut pekeliling dan kaedahnya adalah persatuan tersebut perlu sah berdaftar bagi setiap anjing yang dipelihara selain perlu dilesenkan PBT mengikut kawasan.

“Syarat-syarat perlesenan ini termasuklah tidak boleh melepaskan haiwan peliharaan (anjing) di kawasan awam bagi memastikan faktor keselamatan penduduk di kawasan sekitar terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai usaha Kerajaan Negeri dalam menyelaraskan tindakan mengawal isu anjing liar di Melaka pada hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata Kerajaan Negeri melalui Unit Kerajaan Tempatan (UKT) menerima permohonan daripada Pertubuhan Pencinta Haiwan Melaka (PPHM) berkenaan cadangan penswastaan pusat perlindungan anjing liar di Melaka.

“Satu mesyuarat berkenan cadangan itu telah diadakan pada 16 Jun lalu bersama wakil PPHM dan wakil Persatuan Menolong Haiwan Melaka bagi membincangkan kaedah pelaksanaan pusat perlindungan anjing liar ini dan isu dihadapi pihak persatuan dan NGO berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) juga ada menerima permohonan daripada PPHM untuk mendirikan pusat jagaan anjing di Mukim Rim Daerah Jasin untuk memiliki lesen dan permit sementara bagi tujuan pengoperasian.

“Bagaimanapun ia perlu mengikut garis panduan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar iaitu bilangan anjing dan kucing yang didaftarkan di bawah persatuan tidak melebihi kapasiti dibenarkan iaitu 176 ekor anjing dan 174 ekor kucing.

“Pihak MPJ dalam proses mempertimbangkan permohonan ini bagi mendapatkan kelulusan, pada masa ini pihak MPJ telah luluskan lesen sementara selama enam bulan, permit sementara masih belum boleh diberikan kerana pihak persatuan perlu dapatkan sokongan daripada Japerun Rim serta mempunyai masalah lokasi.

“Jadi mana-mana persatuan yang berhasrat membuka ‘animal shelter’ ini perlu mendapatkan sokongan daripada yb kawasan atau pihak Japerun supaya ia boleh diselaraskan bersama yang terlibat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

710
Kongsi :
Previous post Keperluan asas makanan di Melaka mencukupi
Next post Blok Wanita dan Kanak-Kanak dijangka siap 2027
Ubah saiz-+=