Sorting by

×

Jangan jual kit ujian COVID-19 lebih RM19.90 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 6 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka akan terus memantau penjualan kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) di negeri ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar dalam satu kenyataan berkata, bermula semalam pihaknya membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis jualan bagi memastikan harga runcit RM19.90 dan RM16 bagi harga borong kekal dipatuhi.

Menurutnya, sebanyak lapan premis di sekitar Melaka Tengah dan lima premis di kawasan Alor Gajah yang menjual kit ujian pantas antigen COVID-19 diperiksa dan mendapati kesemuanya mematuhi harga jualan ditetapkan kerajaan.

“Bermula 5 September (semalam), KPDNHEP Melaka telah membuat kawalan ke atas harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) yang akan berkuat kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sehingga kini terdapat 14 jenama yang telah diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pengesanan antigen yang menyebabkan COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bersedia dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan ingin menyalurkan aduan, orang ramai khususnya rakyat Melaka boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Selain itu saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp juga disediakan di talian 019-279 4317,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1080
Kongsi :
Previous post PM pantau agihan bayaran BKC Fasa 1
Next post Lebih 100 ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di Melaka – APM
Ubah saiz-+=