JANGAN JADIKAN RUMAH ‘LUBUK’ SAMPAH
PANTAI KUNDOR 15 Januari – Pemilik premis kediaman di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan kediaman masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi@Mohd Hasim berkata, ia susulan terdapat sebuah rumah di Lereh yang menjadikan kawasan rumah sebagai tempat pengumpulan sampah sehingga mencetus kacau ganggu kepada penduduk setempat.
Jelas Tuminah, sekiranya didapati masih ada yang berdegil dan enggan menjaga kebersihan kediaman, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap pemilik kediaman.
“Saya perlu tegas dalam isu ini kerana masalah yang berlaku di sebuah rumah di Lereh telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk lain disebabkan pencemaran bau. Malah, saya telah menerima banyak aduan mengenai isu ini.
“Tindakan kita pada awalnya adalah memberikan nasihat supaya membersihkan kediaman, tetapi pemilik masih berdegil, jadi kita terpaksa melibatkan pihak berkuasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, jika masalah itu tidak dicegah ia dikhuatiri ia akan mengundang kehadiran haiwan liar.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah membersihkan kawasan tersebut, tetapi pemilik masih juga mengumpul sampah dan melakukan kesalahan yang sama.
“Jadi kita mengadakan operasi bersepadu baru-baru ini bersama jabatan terlibat termasuk penduduk kampung membersihkan sekali lagi kawasan tersebut, di mana sebanyak tujuh tong sampah pukal RORO digunakan untuk kerja pembersihan ini.
“Kita memberikan amaran terakhir kepada pemilik supaya jangan ulangi perkara yang sama, jika tidak tindakan saman bakal menyusul,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.