Jangan jadi sudu lebih dari kuah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Mei – Usaha dan dakwaan sesetengah pihak yang mahu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meletakkan jawatan adalah tindakan yang sengaja dibuat untuk melaga-lagakan kepimpinan parti.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan untuk melaga-lagakan antara kepimpinan Sulaiman dengan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh adalah satu sikap tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

Katanya, sepanjang dirinya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan menjawat jawatan EXCO Kesihatan, tidak pernah berlaku sebarang perbincangan mengenai perletakan jawatan Sulaiman.

“Tidak pernah sekelumit pun sepanjang saya menjadi EXCO kerajaan negeri ada usaha yang meminta kami untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri dari mana-mana pihak.

“Maka dakwaan untuk meminta YAB Ketua Menteri meletakkan jawatan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas kerana ia tidak pernah langsung berlaku dan dibincangkan bersama kami wakil rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sekiranya terdapat desakan Sulaiman menukar jawatan dibincangkan bersama Ketua Bahagian dan Pemangku Ketua Bahagian yang bukan wakil rakyat.

“Sepengetahuan saya,kerajaan negeri dan ketua menteri ini dibentuk dan dipilih oleh wakil rakyat dan bukannya dipilih oleh ketua bahagian mahupun pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat.

“Jadi saya harap kepada pihak yang suka melaga-lagakan orang ini janganlah jadi seperti sudu lebih dari kuah,” katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri pada hari ini adalah mandat dan kepercayaan rakyat yang mahu melihat kepimpinan negeri berkhidmat kepada rakyat dan bukannya sibuk berpolitik menjatuhkan mana-mana pihak.

Katanya, sekiranya terdapat cubaan yang cuba memecah-belahkan UMNO negeri, beliau memohon Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan sewajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1012
Kongsi :
Previous post Sampah lampin pun tersangkut di atas pokok
Next post Negara catat 28,957 kes HMFD bagi tempoh Januari hingga semalam – Khairy
Ubah saiz-+=