Sorting by

×

Jangan gunakan masjid, surau untuk berpolitik – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 7 November – Kerajaan Negeri tidak membenarkan mana-mana calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini menggunakan masjid dan surau sebagai platform untuk berpolitik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tidak mengira apa juga pangkat yang diberikan kepada seseorang pemimpin itu, namun kedua-dua rumah ibadat itu hanyalah untuk menunaikan ibadah.

“Kerajaan Negeri tidak halang sekiranya mana-mana pemimpin politik mahu datang ke masjid dan surau untuk solat, tetapi jangan salah guna jadikan ia sebagai tempat untuk berpolitik.

“Kita ada pelbagai sahsiah dan latar belakang, jadi jagalah imej masing-masing, masjid dan surau tempat untuk kita beribadat dan beramal, jadi tidak bagus jika jadikan sebagai tujuan lain.

“Kalau datang nak berkempen tidak bolehlah, sebab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pun dah keluarkan notis untuk berkempen tidak dibenarkan, saya pun tidak benarkan untuk berkempen dalam masjid dan surau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Tahun 2022 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V.P. Shanmugam dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1931
Kongsi :
Previous post Mohd Ridhwan jauhi politik kebencian
Next post Melaka salur peruntukan hampir RM600,000 untuk rumah ibadat bukan Islam
Ubah saiz-+=