Sorting by

×

Jangan ganggu kawasan ekskavasi Kota Syahbandar

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MELAKA 15 April. – Kerajaan negeri memberi amaran kepada pencari harta karun agar tidak sesekali mengganggu tapak penemuan serpihan kayu yang dipercayai daripada struktur kapal dagang atau perang Zaman Kesultanan Melayu Melaka, di kawasan tambakan di Kota Syahbandar, Pulau Melaka di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ini kerana kawasan tersebut terletak di bawah Akta Warisan Kebangsaan dan bidang kuasa kerajaan negeri, mana-mana penceroboh boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Jadi kami minta mereka ini jangan masuk dalam kawasan tersebut, lagipun berbahaya korek lubang di situ dan kalau terjadi apa-apa, siapa hendak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bufet Ramadan sempena kempen Melakan Visit Melaka di sini malam tadi.

Mengulas mengenai perkembangan penemuan serpihan kayu yang dianggarkan lebih 500 tahun itu, Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 sebagai dana kecemasan untuk menjalankan kerja-kerja ekskavasi dengan segera.

Selain papan yang dipercayai berusia lebih 500 tahun itu, beberapa keping duit syiling lama, tembikar serta alatan besi lama turut ditemukan berhampiran serpihan kayu itu dan kerja-kerja ekskavasi di kawasan berkenaan bermula sejak akhir Mac lalu oleh Jabatan Warisan Negara bersama penyelidik yang diketuai Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Dalam pada itu, beliau memohon agar pengurusan hotel yang menganjurkan bufet Ramadan, agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya isu pelanggaran SOP oleh pengunjung di beberapa bazar Ramadan tidak berlaku di hotel.

“Setakat dua hotel yang saya kunjungi sepanjang dua hari ini, saya tengok pematuhan SOP itu ada… jalan masuk dan jalan keluar tak sama, pemeriksaan suhu dan pengimbas MySejahtera pun ada.

“Saya sangat berpuas hati, cuma ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan seperti ketika mengambil lauk jika penganjurannya secara bufet,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post KKM cadang rentas negeri sempana Aidilfitri ditangguh
Next post Polis bantu pantau operasi pasar Ramadan
Ubah saiz-+=