Sorting by

×

Jangan ganggu ibu bapa yang hendak vaksinkan anak – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta pihak tertentu supaya tidak mengganggu ibu bapa yang hendak mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak masing-masing menerusi Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-Kanak (PICKids).

“Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Khairy turut memuji sikap profesional jururawat yang menyuntik anaknya Ahad lepas dengan menggunakan taktik mengelakkan anak lelakinya Raif daripada melihat jarum suntikan yang digunakan.

“Taktik tidak menunjukkan jarum sangat berkesan dan membantu menenangkan anak saya. Semoga semua doktor dan nurse (jururawat) yang terlibat dalam PICKids dilindungi dari fitnah pihak tertentu,” katanya.

Ahad lepas, Khairy menerusi akaun Twitternya berkongsi gambar anak bongsunya itu menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Mengenai liputan PICKids, Khairy berkata peningkatan liputan dan pendaftaran PICKids menunjukkan semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

“Liputan dan pendaftaran PICKids semakin meningkat. Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak,” katanya.

Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, seramai 246,869 atau tujuh peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam negara telah mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids setakat semalam.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

638
Kongsi :
Previous post Liga-M: Makan dan minum dalam stadium masih tidak dibenarkan – MFL
Next post Wang lebur, bil masih tertunggak
Ubah saiz-+=