Sorting by

×

‘JANGAN CUBA-CUBA NIKAH SINDIKET’

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI NEGERI 28 April – Lelaki Muslim di negeri ini yang bercadang untuk berpoligami diberi amaran supaya tidak menggunakan khidmat nikah sindiket atau bakal berdepan pelbagai kesulitan dalam hal rumah tangga dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut undang-undang syariah Melaka.

Tegas berhubung perkara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, proses perkahwinan tanpa mengikut saluran sah, menyebabkan kesukaran untuk pendaftaran di jabatan agama Islam.

Katanya, keadaan semakin sulit apabila pasangan berkenaan dikurniakan zuriat kerana akan berlaku kesukaran untuk anak-anak dibinkan dengan nama bapa mereka.

“Apabila anak-anak sukar untuk dibinkan akibat tidak menggunakan saluran yang sah ia akan mengganggu proses-proses lain termasuk pendaftaran persekolahan. Semua ini akan memberikan kesan serius kepada anak-anak pasangan berkenaan.

“Sebagai Exco bertanggungjawab, saya mengingatkan kepada mereka yang berkenaan jangan sesekali menggunakan khidmat nikah sindiket, sila ikut saluran sah yang tidak akan membebankan anda pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Rahmad berkata, meskipun kes melibatkan nikah sindiket di Melaka tidak membimbangkan, namun Kerajaan Negeri tetap memandang serius perkara itu kerana ia boleh memberikan kesan jangka panjang kepada institusi keluarga khususnya anak-anak.

Menurut Rahmad, mengikut undang-undang syariah Negeri Melaka, pasangan yang menggunakan khidmat nikah sindiket boleh didakwa atas tiga kesalahan iaitu bernikah tanpa kebenaran, lewat melaporkan penikahan atau bernikah di luar negara tanpa kelulusan pihak berkuasa agama.

“Tindakan dikenakan kepada kedua-dua pihak, suami dan isteri, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum hingga RM3,000 oleh mahkamah syariah.

“Kalau ada halangan poligami, pasangan perlu memohon kebenaran melalui mahkamah syariah. Sebab itu kita telah membuat pembaharuan di Mahkamah Syariah Melaka bagi memudahkan proses permohonan poligami dengan memendekkan tempoh kelulusan kepada 21 hari sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post PARAKOM MELAKA KENDALI LEBIH 150 KES KECEMASAN
Next post 12 TUNJANG KELESTARIAN MELAKA – KM