Jangan cepat terleka, puas hati terhadap usaha kekang COVID-19, titah Agong
Seri Paduka bertitah usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan, terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.
“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.
Menyedari hakikat itu, Seri Paduka bertitah strategi ‘whole-of-society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.
Al-Sultan Abdullah bertitah negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.
Seri Paduka berkeyakinan bahawa meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur.
Al-Sultan Abdullah bertitah perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga perlu diberi galakan untuk menguruskan perniagaan secara digital untuk menjamin akses pasaran yang lebih luas, manakala bidang-bidang pertumbuhan ekonomi turut perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global.
Baginda bertitah inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan beberapa sektor termasuk perladangan, komoditi dan pelancongan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.
“Sektor-sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara, di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.
Kerajaan akan turut membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 dan bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh, titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, mapan dan berdaya saing khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan.
Sehingga kini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion serta Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion.
Yang di-Pertuan Agong nyata amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik itu serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2.
“Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia, pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi pendekatan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat.
Sehubungan itu Seri Paduka menyeru seluruh rakyat perlu sedar akan bahayanya virus COVID-19 khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.
Justeru Yang di-Pertuan Agong bertitah rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard, pada setiap masa.
“Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah juga meminta kerajaan memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing, agar penularan varian baharu dapat dikawal.
Pada masa yang sama Seri Paduka bertitah kawalan sempadan negara perlu diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.
Seterusnya ketua negara itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, China dan Emiriah Arab Bersatu, di atas sumbangan vaksin COVID-19 kepada negara ini.
“Beta menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa, ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima daripada negara-negara lain,” titah Seri Paduka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.