Jamu durian naik kereta antik
AYER MOLEK 23 Julai: Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 40 warga emas Rumah Seri Kenangan apabila mereka dibawa ke ‘kenduri durian’ dengan menaiki kereta mini, semalam.
Kesemua mereka dibawa menaiki kereta antik itu oleh Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia (KPKMM) sejauh lebih 25 kilometer ke Taman Tiang Dua Utama, untuk menikmati raja buah yang disumbangkan Awan Durian.
Menurut penghuni rumah warga emas itu Othman Mohamad, 60, berkata, agak lama dia mengidam untuk makan durian tetapi keinginan itu hanya dipendamkan.
“Saya memang gemar durian dan akan tunggu bila musimnya akan tiba tetapi itu dulu, sekarang kalau teringin atau mengidam hendak makan durian hanya diamkan, jika ada rezeki dapatlah rasa.
“Syukur sangat apabila dibawa untuk makan durian malah dapat merasai naik kereta mini juga. Boleh katakan tadi saya memang makan banyak sampai kenyang tetapi begitu risau juga kerana ada semput,” katanya.
Bagi seorang lagi penghuni Katharine Joyce, 67, berkata, dia amat teruja ketika dimaklumkan akan dibawa makan durian selain berpeluang menaiki kereta antik bersama rakan yang lain.
“Sudah pasti apabila ada program seperti ini saya dan rakan yang lain gembira serta teruja apatah lagi durian ini antara makanan kesukaan. Bermacam durian seperti Musang King, IOI dan Udang Merah saya dapat nikmati.
“Mewakili rakan penghuni yang lain saya berterima kasih kepada pihak yang terbabit kerana ihsan mereka itu dapat kami menikmati durian sepuasnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden KPKMM Datuk Mohamad Dalip berkata, aktiviti kebajikan itu adalah acara tahunan diadakan kelab berkenaan dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan serta berkongsi kasih.
Katanya, menerusi program sebegitu penghuni dapat merasai keseronokan dan gembira apabila dapat melihat keadaan sekeliling serta berjumpa masyarakat luar.
“Kita cuba memberikan kegembiraan kepada mereka, walaupun kebanyakan sudah berusia dan tinggal lama tinggal di situ, kami KPKMM cuba meraikan dengan aktiviti sebegini.
“Dalam menjayakan aktiviti sebegini selain mendapat sokongan teguh daripada ahli kita juga mendapat kerjasama pihak berkaitan contohnya untuk program ini, pemilik Awan Durian sudi menyumbang 600 kilogram durian pelbagai jenis seperti Musang King Udang Merah serta Kasap kepada warga emas ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.