JaminKerja Keluarga Malaysia sedia 600,000 peluang pekerjaan – PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ itu seiring dengan penciptaan peluang pekerjaan yang merupakan teras utama di bawah Bajet 2022.
“Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan, di samping memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Perdana Menteri berkata JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu JaminKerja Insentif Penggajian, JaminKerja Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP), serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).
JaminKerja Inisiatif Pengajian akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyasarkan 300,000 peluang pekerjaan, manakala MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan strategik.
Upskill Malaysia pula dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka serta menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih.
Ismail Sabri berkata JaminKerja Insentif Penggajian memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan untuk membuat pengambilan pekerja terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja termasuk golongan penganggur, golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya, warga emas, bekas banduan, dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan, untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan.
Beliau berkata setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
“Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisi jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang,” katanya.
Ismail Sabri berkata majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan kerajaan sebanyak 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan.
Bagi program JaminKerja MySTEP, beliau berkata ia menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan sektor awam dan selebihnya dalam GLC untuk tahun ini.
Melalui peruntukan RM1.7 bilion, MySTEP akan diterajui Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan lain.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata Kementerian Sumber Manusia menyediakan 312 program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan sepanjang tahun ini.
Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia ini ialah pembuka tirai bagi 2022 dan yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan merentasi pelbagai industri.
Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan terus beriltizam membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang berdepan cabaran yang berbeza untuk mendapatkan pekerjaan.
Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, beliau menyeru pihak industri melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan lebih fleksibel agar padanan lebih baik dapat diwujudkan.
Katanya majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan berkenaan.
Perdana Menteri berkata Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.
“Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin bahawa usaha NEC dalam meningkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi inisiatif ini, seterusnya memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40,” katanya.
Perdana Menteri seterusnya menyeru para majikan termasuk agensi kerajaan, GLC dan swasta untuk memanfaatkan peluang dan insentif yang disediakan di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia kerana ia akan memberi manfaat besar kepada majikan dan pencari kerja. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.