Jambatan sementara di Kampung Iboi dijangka siap esok

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BALING, 8 Julai – Jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang di sini yang sedang dibina bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir dan fenomena kepala air pada Isnin lepas, dijangka siap dan boleh digunakan esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata jambatan keluli bermodular ‘Old Bailey Bridge’ itu mula dipasang petang semalam bagi memudahkan urusan penduduk di beberapa kampung yang sering menggunakan laluan tersebut.

“Penduduk kampung telah meminta kita untuk menyiapkan jambatan sementara itu secepat mungkin iaitu sebelum Aidiladha agar mereka boleh melakukan persiapan untuk menyambut perayaan itu.

“Jadi pada petang semalam kita telah memulakan kerja-kerja memasang jambatan yang melibatkan 20 kakitangan Bahagian Jalan dan Cawangan Kerja Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan dibantu 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jambatan sepanjang 27.43 meter dan lebar 5.48 meter itu mampu menampung beban hingga lima tan bagi satu hala.

Menurut Wan Ahmad Uzir, kesemua material dan bahan yang digunakan untuk membina jambatan itu dan jentera berat yang digunakan adalah milik atau diperoleh daripada stor JKR, justeru pembinaannya tidak melibatkan sebarang kos.

Katanya jambatan sementara tersebut akan terus kekal di situ untuk kegunaan penduduk sehingga jambatan baharu dibina nanti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi Abu Hasan Samah, 62, berkata pembinaan jambatan sementara itu akan memudahkan urusan seharian kira-kira 3,000 penduduk dari beberapa kampung.

Beliau berkata selepas jambatan asal musnah dalam kejadian kepala air itu, penduduk antaranya dari Kampung Masjid Iboi, Kampung Bok Bak, Kampung Tanjung Luas dan Kampung Tanjung Nering perlu melalui jalan jauh dan memakan masa untuk keluar ke bandar.

“Kami di Kampung Iboi juga menggunakan jambatan itu untuk ke masjid kerana masjid terletak di seberang sungai. Jadi kita berterima kasih kepada kerajaan dan harap pembinaan jambatan disiapkan secepat mungkin agar memudahkan penduduk,” katanya.

Seorang penduduk, Nor Atikah Ramli, 27, berkata ketiadaan jambatan ketika ini menyebabkan penduduk terpaksa melalui jalan lebih jauh dan memakan masa hingga 20 minit untuk ke Pekan Kupang berbanding lima hingga 10 minit jika melalui jambatan.

“Sekarang ini kami terpaksa guna jalan jauh yang jarang digunakan, perlu melalui kawasan hutan dan amat gelap pada waktu malam. Kalau ada jambatan sementara ini, bukan sahaja lebih dekat tapi juga rasa lebih selamat,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1400
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Jumaat, 8 Julai 2022
Next post Ibu menggigil lihat rumah anak dijilat api
Ubah saiz-+=