Jambatan baharu Kampung Stulang Daeng mula dibina 2025
SERI NEGERI 10 Julai – Sebuah jambatan baharu yang bakal dibina di Kampung Stulang Daeng di sini dengan kos berjumlah RM12 juta memberi kelegaan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata pembinaan jambatan itu dijadual bermula Januari 2025 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Ban Hong berkata, setakat ini Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dalam pross menyelesaikan reka bentuk serta isu teknikal yang berkaitan.
“Kita sedia maklum September tahun lalu jambatan lama runtuh, susulan itu perhubungan antara Kampung Pulau Gadong dan Kampung Stulang Daeng telah terputus.
“Hari ini dalam sidang DUN Kerajaan Negeri mengumumkan bahawa jambatan baharu akan dibina semula bermula tahun hadapan dan ia adalah satu berita gembira buat penduduk di DUN Klebang.
“Pembinaan semula jambatan ini akan membantu menyelesaikan masalah yang kini dihadapi oleh penduduk setempat termasuk pekebun dan pesawah yang menggunakan jambatan ini untuk mencari rezeki,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ban Hong berharap agar pembinaan jambatan baharu itu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan sekali gus memberi kemudahan kepada penduduk di DUN tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.