
JALAN PINTASAN BAHARU UNTUK ORANG MERLIMAU
MERLIMAU 13 April – Jalan pintasan baharu sejauh 3.5 kilometer (km) akan dibina bagi menguraikan kesesakan lalu lintas khususnya di Bandar Merlimau dengan anggaran kos RM50 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pembinaan jalan pintasan itu membabitkan laluan bermula dari Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) terus menghala ke Merlimau Pasir.
“Dalam tempoh terdekat ini kita akan ada jalan pintasan baharu yang mana ia dinanti-nantikan oleh penduduk setempat.
“Pembinaan jalan pintasan itu adalah bagi mengurangkan kesesakan di Bandar Merlimau khususnya dan projek ini dianggarkan bernilai RM50 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.
Berkenan mencemarkan duli menghadiri majlis rumah terbuka itu adalah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri yang lain.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, berkata, pembinaan jalan pintasan baharu itu dijangka akan bermula pada tahun hadapan selepas proses sebut harga selesai.
“Pembinaan ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan sekiranya tiada apa-apa halangan manakala proses tender dilakukan dalam tahun ini.
“Apabila siap kelak, jalan pintasan ini diharap bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan malah memudahkan penduduk setempat,” katanya.
Jelasnya, pembangunan lain termasuk infrastruktur di kawasan DUN Merlimau turut diberi perhatian, malah akan dibangunkan dari semasa ke semasa sekali gus akan memberi manfaat serta keselesaan kepada penduduk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.