Jalan Hutan Percha-Pekan Tebong siap dengan pakej 5 dalam 1
MACHAP JAYA 27 Mei – Jalan baharu yang menghubungkan Hutan Percha ke Pekan Tebong, di sini, sepanjang lima kilometer diserahkan secara rasminya, hari ini.
EXCO Kerja Raya Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, projek yang menelan kos keseluruhan RM43.55 juta itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, Rolling Plan 1 (RMKe-11, RP1) yang mana ia telah bermula pada Mac 2018.
Projek yang diterajui Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana itu, jelasnya, telah disiapkan pada 22 Mac lalu dengan pakej lima dalam satu, iaitu Perakuan Siap Kerja (CPC), As-built Drawing, Pendaftaran MARRIS, Zero Excident dan Coffee Table.
“Projek ini amat penting dalam menyediakan akses yang sempurna dan selamat kepada pengguna jalan raya ini serta mampu memendekkan masa perjalanan.
“Pembinaan jalan ini juga memudahkan urusan seharian penduduk di sekitar jajaran jalan projek ini dan membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan jalan berkenaan, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Ngwe Hee Sem, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Datuk Ir Ismail Abd Rahman, Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Sembilan/Melaka Khairul Nizar Khalid dan lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, jalan berkenaan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk yang menggunakan laluan berkenaan.
Katanya, antara kemudahan yang boleh dimanfaatkan melalui jalan tersebut termasuk menjalankan urusan seharian, selain menjadi jalan perhubungan kampung dan institusi berhampiran termasuk sebuah sekolah iaitu SJK (T) Pekan Tebong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.