Jalan dah terang, lain pula jadinya

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER LIMAU 8 November – Tidak sampai dua bulan langkah pemasangan lampu jalan baharu di beberapa lokasi gelap di Masjid Tanah dilakukan, ada yang mengambil kesempatan ‘menghalalkan’ kegiatan berlumba di kawasan itu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata langkah memasang lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) yang menjadi projek perintis di negeri ini adalah bagi memastikan kadar kemalangan yang berlaku akibat jalan gelap dapat dikurangkan.

Katanya, terdapat tiga lokasi telah dibangunkan dengan inisiatif itu iaitu di Jalan Sungai Jernih, Ramuan China Kechil; Jalan Ayer Molek, Ramuan China Besar dan Persimpangan Solok Duku-Tanjung Bidara disiapkan kini menjadi litar lumba oleh mat rempit.

Bagaimanapun, beliau mengungkapkan rasa kecewa apabila mendapati pembangunan infrastruktur yang dibangunkan di lokasi berkenaan menjadi ‘port’ ‘pesta’ lumba haram.

“Hari ini apabila kita berusaha untuk membangunkan kawasan ini untuk kepentingan masyarakat tapi ada yang mengambil kesempatan menjadikan ia sebagai litar untuk berlumba.

“Sebab kita tahu kawasan-kawasan yang dipasang lampu jalan LED ini adalah kawasan yang kerap berlaku kemalangan sebab kawasan itu gelap, Kerajaan Negeri sudah ambil tindakan untuk menyiapkannya.

“Tetapi apabila kita sudah laksanakannya kesempatan ini diambil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti negatif seperti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau menegaskan langkah pencegahan aktiviti lumba haram akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak berkuasa.

“Bagi mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku kita akan jalankan pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan untuk membanteras kegiatan negatif ini.

“Operasi akan dilaksanakan berterusan dan kawasan itu akan berada di bawah radar pihak berkuasa, kita tak boleh nak maklumkan bila sebab ia akan mengganggu operasi yang akan dijalankan.

“Malah, langkah pembangunan yang diambil Kerajaan Negeri ini kita akan sasarkan lebih banyak lagi lokasi di Melaka akan dibangunkan dengan inisiatif ini menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), sebab kita mahu kurangkan langkah penggunaan elektrik dan mendukung amalan teknologi hijau dan mampu menjimatkan kos,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12493
Kongsi :
Previous post Tak sempat jual hasil curi bar emas, dah kena cekup
Next post i-Care4u langkah atasi kemiskinan tegar di Melaka
Ubah saiz-+=