
JALAN BAHARU TAMBAK PAYA KE LEBUH AMJ STRATEGI PENYURAIAN TRAFIK
AYER MOLEK 21 April – Jalan pintas baharu dianggarkan sejauh tiga kilometer (km) menghubungkan Tambak Paya dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) akan dibina sebagai salah satu strategi penyuraian trafik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, permohonan bagi membina kemudahan itu sudah dibuat dan kini pihaknya sedang menunggu kelulusan.
Katanya, apabila terlaksana kelak laluan itu akan membantu mengurangkan kesesakan dan memberikan lebih keselesaan khususnya kepada pengguna bagi laluan Tambak Paya ke AMJ dan sebaliknya.
“Jalan pintas baharu ini kita sudah mohon dan sudah masuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mana kos pembinaannya dianggarkan bernilai RM35 juta.
“Apabila siap kelak, laluan ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk sekitar Paya Dalam tetapi juga pengguna yang masuk ke Melaka melalui pintu selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang berlangsung di Dewan Japerun Ayer Molek, di sini, semalam.
Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, selain perancangan membina laluan alternatif baharu, beliau juga memberikan perhatian kepada kerja-kerja baik pulih serta penyelenggaraan jalan sekitar DUN Ayer Molek.
“Alhamdulillah DUN Ayer Molek ini kelengkapan infrastuktur mencukupi dan kita kini melaksanakan kerja-kerja menyelenggara atau ganti mana yang rosak.
“Selain itu juga aspek kebajikan rakyat turut diberi keutamaan termasuk aktiviti ziarah kasih yang masih diteruskan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.