Jalan baharu Kampung Jeram-Ayer Limau dibuka Oktober tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 24 Julai – Pembinaan jalan baharu membabitkan jajaran Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram, di sini, dijangka bakal dibuka untuk pengguna jalan raya menjelang awal Oktober tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan projek yang bermula pada 2022 itu kini berada pada fasa 96 peratus siap.

Menurutnya, jalan perhubungan itu dijangka dapat dibuka lebih awal berbanding tempoh yang ditetapkan memandangkan kemajuan pembinaannya telah berjaya disingkatkan 41 hari lebih awal.

“Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka dan kontraktor yang memastikan kelancaran projek ini, di mana mereka telah merangkumkan kerja terbaik demi rakyat Masjid Tanah.

“Pembinaan jalan baharu ini sekali gus membawa satu manfaat buat rakyat kerana jalan rentas ini menjimatkan tempoh perjalanan dari Alor Gajah dengan hanya 15 minit berbanding setengah jam sebelum ini.

“Jalan sepanjang tiga kilometer ini juga mengambil tempoh lebih kurang lima minit dari awal ke hujung persimpangan untuk tiba dari Kampung Jeram sehingga ke Ayer Limau,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan meninjau projek berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah JKR Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Selain menjimatkan masa perjalanan dari Kampung Jeram ke Alor Gajah, jalan baharu dua lorong itu juga membantu penguraian trafik dan mengurangkan kesesakan laluan menuju ke pusat bandar.

Jalan itu juga memudahkan perjalanan ke bandar berdekatan, selain meningkatkan kualiti jaringan jalan bandaran, memangkin pembangunan kawasan sekitar dan meningkatkan sosio-ekonomi penduduk kampung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1663
Kongsi :
Previous post ‘Rumah ikan’ bawa sinar baharu buat nelayan Pantai Kundor
Next post Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Melaka tempuh jarak 122.5 kilometer
Ubah saiz-+=