Sorting by

×

Jalan alternatif Taman Murai Jaya siap Julai depan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 17 Mei – Projek pembinaan jalan alternatif ke Taman Murai Jaya, Durian Tunggal, di sini, yang bertujuan bagi penguraian trafik dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata sejurus projek itu siap, ianya akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan seterusnya boleh digunakan oleh penduduk setempat mahupun pengguna jalan raya.

“Sekarang ini masih dalam pembinaan bagi menyiapkan keseluruhan jalan terbabit dan dianggarkan sudah siap kira-kira 73 peratus.

“Kita jangkakan dalam tempoh kira-kira sebulan lebih ini akan siap sepenuhnya seperti dijadualkan, yang mana jumlah keseluruhan projek itu membabitkan kos lebih RM8 juta,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, yang turut dihadiri Pengarah JKR negeri Datuk Ir Ismail Abd Rahman, malam tadi.

Majlis sambutan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Turut sama adalah barisan Exco Kerajaan Negeri antaranya Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin dan juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Mohd Noor Helmy Abd Halem.

Menurut Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau , pihak JKR juga secara berterusan melakukan penyelenggaraan jalan raya yang terjejas atau rosak kesan daripada banjir.

“Memang ada peruntukan selenggara jalan yang terjejas dan rosak malah kerja-kerja itu dilakukan secara berterusan dari masa ke semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1570
Kongsi :
Previous post Jom lihat Hilal Zulkaedah di Kompleks Falak Al-Khawarizmi Sabtu ini
Next post Bekalan air penduduk Kuala Ina selesai dua hari lagi – Exco
Ubah saiz-+=