JAKM Melaka: Kaunter bayar saman trafik terus jadi tumpuan
Seawal 8.30 pagi, orang ramai mula beratur di kaunter berkenaan bagi mendapatkan potongan kadar saman hingga 50 peratus.
Seorang pengunjung, Kamarudin Mdson, 62, berkata beliau memiliki jumlah saman terkumpul sejak 2016 lebih RM5,000, namun pada hari ini hanya membayar RM2,580 kerana mendapat potongan 50 peratus.
“Saya memang datang ke AKM hari ini untuk membayar saman, sebelum ini bukan tidak mahu bayar tetapi belum ada kemampuan untuk selesaikan sepenuhnya.
“Apabila dapat tahu adanya kaunter ini yang tawarkan potongan hingga 50 peratus, memang saya sudah niat untuk selesaikan saman-saman yang ada,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Kamarudin berkata tawaran diskaun saman wajar dilakukan lebih kerap bagi mengurangkan beban rakyat terutama selepas pascapandemik COVID-19 yang memerlukan wang untuk bangkit semula.
“Memang patut perbanyakkan program seperti ini untuk bantu ringankan beban rakyat, bukanlah bermaksud galakkan rakyat buat salah,” katanya.
Bagi Zulkarnain Harun, 49, saman yang diselesaikannya hari ini berjumlah RM380 daripada jumlah keseluruhan kira-kira RM750 berkaitan had laju.
“Saya rasa tawaran potongan kadar saman seperti ini memang perlu diadakan secara kerap, mungkin dua atau tiga bulan sekali supaya budaya kumpul saman itu tidak ada dalam kalangan rakyat.
“Kadang-kadang sebab saman terkumpul banyak… itu yang jadi punca agak sukar untuk selesaikannya,” katanya.
Sempena Jelajah AKM Melaka bermula semalam hingga esok, PDRM membuka kaunter pembayaran saman trafik bermula 9 pagi hingga 4 petang dan orang ramai yang berhasrat menyelesaikan saman mereka boleh berbuat demikian dengan membuat semakan terlebih dahulu di kaunter yang disediakan sebelum membuat pembayaran secara tunai.
Semua saman layak mendapat potongan kecuali kemalangan, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan, memotong secara berbahaya, memotong di garisan berkembar, dalam perbicaraan, tidak boleh kompaun, kesalahan berkaitan lori dan ubah suai ekzos. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.