JAKIM sediakan draf ketetapan baharu SOP solat jemaah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata perkara itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik COVID-19 pada penghujung Oktober ini, selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin COVID-19.
Menurut Idris, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan mufti-mufti, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.
Ia bagi membincangkan beberapa cadangan yang boleh diambil termasuk memberi ruang kapasiti yang lebih luas untuk umat solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah-langkah keselamatan yang rapi.
“Selain itu, cadangan untuk menjadikan lebih banyak surau biasa termasuk surau-surau di pejabat sebagai tempat mendirikan solat Jumaat juga akan turut dibincangkan bersama pihak berkuasa agama negeri.
“Kerajaan memberi perhatian serius terhadap kemudahan solat berjemaah di masjid dan surau serta aktiviti berkaitannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua ketetapan yang akan dibuat kelak turut mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan dan Raja negeri-negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam di negara ini.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan terus berusaha bersama pihak berkuasa agama negeri dalam perkara berkaitan hal ehwal agama Islam agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta menurut lunas perundangan.
“Saya amat berharap agar masyarakat khususnya umat Islam memahami bahawa sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan dalam setiap perkara, keselamatan rakyat adalah perkara yang paling menjadi keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.