Sorting by

×

JAIM tidak pinggirkan ‘komuniti penyayang’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT BARU 3 April – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa membantu golongan sasar seperti ‘komuniti penyayang’ yang komited untuk berhijrah ke jalan diredai Allah SWT.

Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim berkata, usaha itu bagi memberi peluang golongan berkenaan untuk membina jati diri khususnya dalam menjalani ibadah berpuasa sepanjang Ramadan.

“Kali ini kami serahkan sumbangan Aidilfitri bernilai RM200 setiap seorang, selain barangan keperluan harian menggunakan peruntukan Asnaf Riqob (golongan hijrah) kepada 30 penerima daripada golongan sasar.

“Mereka ini dibimbing oleh seramai 24 fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) yang dilantik oleh JAIM supaya mendapat ilmu tentang kekeluargaan, kerohanian di institut terpilih.

“Bukan itu sahaja, mereka juga dididik tentang ilmu al-Quran dan fardu ain untuk menjadi pemimpin keluarga, sekali gus membentuk komuniti masyarakat berjiwa penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramadan Dihayati, Syawal Disyukuri Bersama Komuniti Penyayang dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti tahun 1445H/2024M di Bilik Kuliah Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM, Muhamad Sayuti Omar; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JAIM, Ikraam Rosli; Pengerusi Pertubuhan Islah Movement, Hanani Rahayu Abd Jalil dan Penceramah program, Dr. Mohd Izwan Yusof.

Mengulas lanjut, Badaruddin berkata barisan fasilitator juga tidak dilupakan dan diberikan sumbangan bernilai RM250 sebagai tanda penghargaan kerana membantu golongan hijrah di negeri ini.

“Kerjasama fasilitator ini sangat dihargai kerana mereka sanggup membantu dalam melahirkan individu yang boleh memimpin keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Persatuan Islah Movement Negeri Melaka dan QSR Brands Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post ‘Along’ santuni 180 ketua keluarga Orang Asli
Next post Aidilfitri: Keluarga dibenar lawat penghuni penjara pada raya ketiga, keempat
Ubah saiz-+=