JAIM terpaksa bertegas larang warga asing, kanak-kanak masuk masjid
MELAKA 31 Julai – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terpaksa bertegas untuk tidak membenarkan warga asing dan kanak-kanak bawah 12 tahun menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid-masjid.
Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengambil kira arahan yang ditetapkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Jelasnya, hasil pemantauan di Masjid Al-Azim hari ini, masih terdapat warga asing serta ibu bapa yang membawa kanak-kanak hadir untuk menunaikan solat sunat berjemaah di masjid, namun pegawai yang bertugas terpaksa meminta mereka pulang dengan cara baik.
“Saya rasa semua sedia maklum, faktor keselamatan perlu diutamakan dan kerajaan negeri juga masih belum membenarkan warga asing dan kanak-kanak untuk bersolat jemaah di masjid mahupun surau.
“Jadi, dalam hal ini pegawai-pegawai yang bertugas terpaksa bertegas dan meminta mereka pulang secara baik. Alhamdulillah setakat ini semua memberi kerjasama yang baik dan memahami arahan yang diberikan itu,” katanya ketika ditemui usai menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, di sini.
Dalam pada itu, Md Azhan turut memuji jemaah-jemaah yang hadir di masjid ini kerana telah mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri serta mengamalkan penjarakan sosial seperti yang telah digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).