JAIM salur 600 kg daging dan 300 kit makanan kepada asnaf dan miskin
AYER MOLEK 9 Ogos – Seramai 300 golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) menerima agihan daging dan kit makanan secara pandu lalu di tiga lokasi berasingan, di sini hari ini.
Bantuan disalurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Program Sinar Ambang Muharam di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (JAPERUN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Dua lagi lokasi penyerahan adalah di Masjid Kampung Tun Razak, Bukit dan bangunan Persatuan Orang Pekak Negeri Melaka di Durian Daun.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, sebanyak 300 pek daging setiap satu berisi dua kilogram daging diserahkan bersama kit makanan Tabung Musa’adah COVID-19.
Katanya, program bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ diadakan secara pandu lalu bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP).
“Sebelum ini kita telah sampaikan 200 bantuan makanan Tabung Musa’adah COVID-19 kepada JAPERUN Ayer Molek.
“Hari ini kita serahkan tambahan 50 pek daging serta kit makanan kepada 300 lagi penerima dalam kalangan asnaf, keluarga miskin serta ibu tunggal dan golongan OKU pekak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan disalurkan bagi golongan memerlukan di DUN itu.
“Sempena Maal Hijrah 1443H, kami akan edarkan bantuan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Negeri Melaka, Salbiah Abdul Hamid berkata, persatuan itu mempunyai kira-kira 300 ahli aktif dan mempunyai tanggungan anak ramai.
Jelasnya, beliau yang mewakili persatuan itu akan menyerahkan bantuan kepada 50 ahli persatuan yang disenaraikan bagi menerima manfaat itu.
“Serahan juga dilakukan secara pandu lalu di pejabat persatuan di Taman Pertam Jaya, hari ini dan diharapkan bantuan diterima dapat dimanfaatkan bagi meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.