JAIM lakar sejarah anjur sayembara pantun berunsur Islam

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MELAKA 32 Sept – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melakar sejarah tersendiri dalam dunia peradaban Melayu dan Islam apabila tampil dengan inisiatifnya menganjurkan Sayembara Pantun Berunsur Islam sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2021 baru-baru ini.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, penganjuran tersebut dianggap bersesuaian dengan fungsi pantun sebagai warisan peradaban dan seni budaya Nusantara serta telah diamalkan sekian lama dalam masyarakat rumpun Melayu.

Menurutnya, nilai pendidikan akhlak merupakan ciri khas dalam budaya berpantun yang mencerminkan kehidupan beradat yang turut ditekankan dalam agama Islam.

“Pantun berunsur nasihat disampaikan melalui saranan menuntut ilmu, kehidupan agama, hidup berbudi dan adab dalam masyarakat, semua ini ditekankan dalam agama Islam.

“Dalam menyampaikan sesuatu pesanan atau peringatan, orang Melayu dulu-dulu menggunakan pantun sebagai salah satu bentuk nasihat kerana ia lebih berlapik dalam menasihati seseorang atau masyarakat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Penganjuran Sayembara Pantun Berunsur Islam secara maya disiarkan di Facebook Live JAIM yang berakhir kelmarin itu menyaksikan lebih 20,000 pengunjung manakala kira-kira 9,500 pelawat memberikan respon dan penghargaan atas inisiatif agensi itu.

Pertandingan diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) itu turut menarik penyertaan dari Kepulauan Riau, Batam.

Agensi lain yang turut terlibat menjayakan penganjuran Sayembara Pantun Berunsur Islam antaranya Jabatan Ketua Menteri, JAKIM, JAWI, Kementerian Pengangkutan, NADMA, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara negeri Melaka dan SPRM Melaka.

Menurut Che Sukri, pantun menggambarkan genius Melayu dalam tutur kata dan ia diiktiraf sebagai Warisan Melayu tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lalu di Paris, Perancis.

Malah katanya, sambutan pengunjung yang dianggap luar biasa dan penghargaan tidak putus-putus diterima agensi itu menjadikan program tersebut berjaya meraih rating terbaik Facebook Live.

“JAIM amat menghargai setiap penghargaan dan kerjasama diberikan oleh pelbagai pihak dalam menganjurkan Sayembara Pantun ini dan sama-samalah kita berusaha serta komited dalam meneruskan usaha memartabatkan pantun sebagai warisan bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, JAIM berhasrat menjalin kerjasama dengan DMDI bagi penganjuran pertandingan pada masa depan dalam usaha merancakkan lagi kegiatan pantun dalam kalangan generasi baharu akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post Penolong Pegawai Kesihatan mengaku tidak bersalah terima rasuah
Next post Percepat pemulihan ekonomi menerusi dasar mesra perniagaan, pelaburan- Agong
Ubah saiz-+=