Jaguh rejam lembing antara penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 November – Jaguh sukan rejam lembing, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi, 23, menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19, semalam.

Aktif bersukan sejak di bangku sekolah, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian ini terus menempa pelbagai kejayaan sepanjang pengajian di universiti ini.

Selain meraih pelbagai kejayaan dalam arena sukan rejam lembing peringkat kebangsaan dan Asia Tenggara, Syed Abrar pernah menempa nama sebagai atlet mewakili Malaysia dalam temasya sukan SEA 2023 di Kemboja.

Syed Abrar berkata, berbekalkan semangat bersukan dia tidak pernah menyerah kalah sehingga hari ini, malah berjaya merangkul sebanyak 13 pingat emas dan dua pingat perak daripada 16 kejohanan yang disertai.

“Antaranya, Asean University Games, Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), MAF National Athletic Championship, Kejohanan Olahraga IPT, Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Kejohanan Olahraga IPT Sirkit, Varsity Track and Field dan temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA).

“Selain sukan saya juga perlu bijak membahagikan masa untuk akademik sehingga mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73.

“Di samping sibuk memfokuskan sesi kuliah akademik, saya sentiasa pastikan menjalani latihan padang selama dua jam pada sebelah petang antara jam 5 hingga 7 petang,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini turut menanam impian untuk menjadi seorang pensyarah apabila berjaya kelak.

“Saya akan menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana di UTeM selepas ini dan pada masa yang sama terus memperkembangkan bakat sebagai atlet rejam lembing,” kata anak yang berasal dari negeri Perlis ini.

Seorang lagi, penerima anugerah itu adalah M. Nahvin, 23, yang berasal dari Negeri Sembilan menerima anugerah itu apabila mencapai PNGK 3.89.

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kompuer (Kepintaran Buatan), Nahvin meluahkan rasa gembira kerana apa yang diusahakan selama pengajiannya di UTeM membuahkan hasil.

Berkongsi amalan dan prinsipnya, Nahvin berkata seseorang pelajar itu perlu mempunyai semangat dan percaya pada diri sendiri untuk menjadikan sesuatu perkara lebih mudah.

“Saya tekad untuk menjadi yang terbaik demi mencorak masa depan lebih terjamin bagi membalas jasa ibu bersusah payah menoreh getah menyara keluarga.

“Ibu terpaksa menyara keluarga kerana ayah lumpuh selepas diserang penyakit angin ahmar beberapa tahun lalu dan ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cemerlang.

“Saya bercita-cita untuk meneruskan pengajian hingga peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kepintaran Buatan,” kata anak sulung daripada dua beradik ini.

Syed Abrar dan Nahvin antara 3,378 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang membabitkan enam sesi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1239
Kongsi :
Previous post 1,517 graduan terima diploma pada Konveksyen PMM ke-21
Next post Mendepani perubahan dan teknologi kepada kebolehpasaran graduan masa depan
Ubah saiz-+=