Sorting by

×

Jaga SOP, kawalan kendiri ketika aktiviti sukan, rekreasi – Ahmad Faizal

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Semua pihak dinasihatkan supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kendiri ketika melakukan aktiviti sukan dan rekreasi berikutan kes COVID-19 semakin melonjak pada masa ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peranan masyarakat dalam mengambil langkah kendiri untuk mengekang penularan wabak berkenaan dilihat cukup penting biarpun SOP sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau turut mengesahkan bahawa buat masa ini, tiada apa-apa arahan daripada MKN untuk memperketatkan SOP berkaitan aktiviti sukan dan rekreasi, dengan SOP sedia ada bagi semua jenis sukan kekal.

“Kita semua prihatin dengan apa yang sedang berlaku (peningkatan kes). Kalau kita masing-masing dapat bersama-sama faham bagaimana wabak ini menular dan menjaga diri masing-masing dengan baik, tentunya segala aktiviti sukan boleh terus dilaksanakan.

Jika ada simptom, menjadi kontak kasual atau kontak rapat dengan pesakit, jauhkan diri, asingkan diri dan sebagainya bagi memastikan wabak ini tidak menular, maka kerajaan tidak perlu memperketatkan SOP,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata sekiranya kerajaan terpaksa memperketatkan SOP, ia akan menjejaskan banyak acara sukan yang bakal dianjurkan, selain menyukarkan persiapan atlet negara ke beberapa kejohanan utama yang bakal berlangsung tahun ini.

Sementara itu, pada perhimpunan bulanan yang diadakan secara hibrid itu, Ahmad Faizal turut menyempurnakan prapelancaran “ISN Performance Centre” (ISN PC) yang menyediakan perkhidmatan sains sukan berbayar kepada kumpulan sasaran.

“Saya berbangga dengan pencapaian ISN, dengan fasiliti bertaraf dunia, saya menggalakkan orang ramai, termasuk atlet-atlet dari luar untuk menggunakan fasiliti ini kerana ia penting untuk menjana pendapatan kepada ISN, sebagai satu usaha jangka masa panjang,” katanya.

ISN PC merupakan pusat sukan berprestasi tinggi berkonsepkan pendekatan sains sukan berasaskan bukti bertujuan memberikan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan seperti atlet di luar program Majlis Sukan Negara, atlet antarabangsa, atlet semi-profesional serta penggemar aktiviti sukan.

Menurut kenyataan ISN, berteraskan kepada pengalaman luas dalam bidang sains sukan bersama atlet elit negara, ISN PC menyediakan perkhidmatan sains sukan seperti fisiologi senam, pemakanan sukan, psikologi sukan, suaian fizikal, analisis prestasi sukan dan biomekanik sukan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1359
Kongsi :
Previous post Penduduk trauma kejadian ‘angin datang tiba-tiba’
Next post Lawatan PM Ismail Sabri, peluang Malaysia – Thailand perkukuh kerjasama dua hala
Ubah saiz-+=