
Jaga kualiti, kebersihan makanan – KM
PENGKALAN BATU 15 Mac – Peniaga bazar Ramadan seluruh Negeri Melaka diingatkan supaya sentiasa mementingkan aspek kebersihan dan kualiti juadah berbuka yang ditawarkan kepada pelanggan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia bagi memastikan makanan atau minuman dijual tidak tercemar hingga boleh memudaratkan pelanggan termasuk risiko keracunan.
“Saya ingin memberi sedikit peringatan kepada peniaga-peniaga, dalam kita mencari keuntungan perlu juga jaga kebersihan daripada segala sudut,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan menyantuni peniaga-peniaga di Bazar Ramadan Peringgit, di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Selain itu Ab Rauf juga mengingatkan pengusaha bazar Ramadan agar sentiasa mengamalkan sikap mesra dan menjalinkan hubungan silaturahim yang baik dengan pelanggan.
“Peniaga bazar Ramadan perlu mesra dengan orang (pelanggan) yang datang untuk membeli juadah berbuka puasa di gerai mereka.
“Pada masa sama saya juga berharap orang ramai dapat memberi sokongan kepada peniaga kerana limpahan ekonomi ini akan memberi kesan kepada semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.