Sorting by

×

JAGA KUALITI HALAL – KM

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 November –  Sesuai dengan status Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan dunia, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, komited untuk memastikan semua aspek termasuk jualan makanan, restoran serta hotel diyakini pelancongan khususnya dalam aspek ‘halalan tayyiban’.

Berikutan itu Ketua Menteri berharap pemilik hotel mempunyai dapur atau restoran segera memohon pensijilan halal, sekali gus meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan yang mesra Muslim.

Ketua Menteri berkata, baru-baru ini, Melaka telah meraih anugerah Halal State Performance Excellence Award daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Saya yakin, pengiktirafan ini jelas mempamerkan bahawa Melaka merupakan negeri yang menjulang hab
halal terbaik dan perlu dicontohi semua.

” Justeru, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada agensi-agensi tempatan termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Melaka Halal Hab dan beberapa agensi kerajaan yang lain kerana sentiasa memperkukuh sinergi mempergiat promosi serta kecekapan perkhidmatan proses pensijilan halal perniagaan di Melaka yang efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) di sebuah hotel, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama timbalan beliau, Datuk Rosli Abdullah serta Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyampaikan kit jemputan kepada pesuruhjaya tinggi dan duta negara asing dari Bangladesh, Vietnam, Filipina serta Namibia.

Kit jemputan turut diserahkan kepada wakil agensi kerajaan berkaitan dan industri yang  terbabit secara aktif dalam industri halal.

Ab Rauf berkata, industri halal di negeri ini juga semakin kukuh dan mengikut rekod semasa Melaka merekodkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Ketua Menteri jika dibandingkan pada awal dekad yang lalu Melaka hanya memiliki beberapa puluhan perniagaan halal, namun bagi tahun ini sahaja, JAIM sebagai agensi yang menguruskan permohonan pensijilan halal telah menerima lebih 400 permohonan.

“Tidak dinafikan, industri halal pada hari ini telah membuktikan keupayaannya yang berpotensi besar untuk membawa satu anjakan baharu seiring dengan perkembangannya yang pesat.

“Kalau dahulu, industri halal lebih sinonimdengan sektor minuman dan makanan, namun kini telah mencakupi pelbagai sektor termasuklah farmaseutikal, kosmetik, perbankan, pelancongan dan logistik.

“Dengan merekodkan nilai pasaran global yang mencecah trilion dolar, Jelas membuktikan industri halal mempunyai satu ekosistem yang kukuh, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya.

Festival dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) adalah platform terbaik buat para usahawan, pelabur dan pemain industri halal untuk berkongsi pengetahuan, membina jaringan, sekali gus meneroka peluang perniagaan baharu yang dapat
memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post MIHF’24 PERKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB HALAL ANTARABANGSA
Next post MIHF’24: OPTIMUMKAN INDUSTRI HALAL
Ubah saiz-+=