Jadikan Tanjung Bidara ‘Taman Pelancongan’
TANJUNG BIDARA 18 Ogos – Perancangan untuk menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sebagai ‘Taman Pelancongan’ mampu mengembalikan kegemilangan DUN itu sebagai destinasi pilihan pelancong.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sekitar tahun 60-an, DUN Tanjung Bidara menjadi destinasi popular untuk mandi-manda, namun pembukaan kawasan pelancongan baharu menyebabkan jumlah kunjungan pelawat kini semakin berkurangan.
Katanya, berikutan itu Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) merancang beberapa tarikan baharu untuk meningkatkan lagi jumlah kunjungan pelancong, sekali gus membawa pulangan dalam bentuk ekonomi kepada penduduk sekitar.
“Antara yang dirancang adalah kawasan permainan untuk orang awam dan kanak-kanak, turut dicadangkan adalah membina sebuah restoran terapung di kawasan ini.
“Apabila Taman Pelancongan ini sudah beroperasi kelak, sudah tentu DUN Tanjung Bidara akan kembali seperti pada zaman kegemilangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Bersama Masyarakat Tahun 2023 di Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Turut hadir Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas dan Jurutera Daerah Alor Gajah, Ir. Mohd Haidir Haron serta Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.