Jadikan Pantai Puteri destinasi pelancongan sukan air
PANTAI KUNDOR 17 Julai – Pantai Puteri, di sini, dicadang untuk diangkat sebagai lokasi utama pelancongan sukan air di Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, penganjuran acara sukan air seperti berenang, berkayak dan memancing sangat dialu-alukan di pantai peranginan seluas kira-kira 2.5 kilometer itu.
Katanya, menerusi penganjuran seperti itu, ia bukan sahaja merancakkan pelancongan di negeri ini, bahkan turut memberi tempias kepada ekonomi penduduk kampung termasuk peniaga kecil dan pengusaha hotel serta inap desa di kawasan itu.
“Saya memang mengharapkan pantai ini menjadi destinasi pelancongan utama khususnya berbentuk sukan air seperti ini kerana ia secara tidak langsung memperkenalkan Pantai Puteri kepada pelancong.
“Pada masa sama, ia juga membantu peniaga kecil, begitu juga pengusaha chalet, homestay dan hotel kerana kebanyakan peserta daripada acara besar tidak hanya datang sehari, tetapi juga akan memanfaatkan peluang bercuti di negeri ini.
“Jadi, apa juga penganjuran berskala besar yang mahu diadakan di Pantai Puteri, saya selaku wakil rakyat amat mengalu-alukan dan sedia memberi kerjasama yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang Swimathon Melaka 2022 di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini.
Program anjuran Kelab Sukan Rekreasi Redtma dengan kerjasama Tourism Melaka, JAPERUN Pantai Kundor dan pelbagai agensi itu disertai seramai 450 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Australia, Singapura, United Kingdom, Japan dan Mongolia.
Sebanyak 7 kategori laluan renang dipertandingkan pada acara itu iaitu 500 meter, 1 kilometer (km), 1.5km, 2km, 4km, 5km dan 10km membabitkan kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Terdahulu upacara pelepasan peserta telah disempurnakan EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis bersama Tuminah.
Dalam pada itu, Tuminah turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang bertanggungjawab memastikan keselamatan peserta dan kelancaran program tersebut.
“Sebelum ini ramai yang risau bila dimaklumkan acara renang akan diadakan di Pantai Puteri atas faktor bahaya dan sebagainya.
“Kita mengambil maklum semua nasihat itu dan hari ini terbukti dengan kerjasama pelbagai agensi kita berjaya memastikan keselamatan peserta menjadi agenda paling utama.
“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Jabatan Laut Negeri Melaka, Angkatan Pertahanan Awam Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan lain-lain yang membantu sepanjang penganjuran acara ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.