Jadi sukarelawan, ‘menyelam sambil minum air’
TELOK MAS 7 Januari – “Bukan mudah untuk sampai ke tempat cantik begini, sebab itu saya ikhlaskan diri jadi sukarelawan bersihkan pulau-pulau di Melaka”.
Itu luahan seorang sukarelawan Siti Nur Anis Atasya Kamil,31, yang teruja menjadi sukarelawan membersihkan pulau di Melaka menerusi Program Voluntourism : Melaka Nature Epic Challenge (MNEC24) Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Taman Laut Melaka, semalam.
“Pertama kali datang ke Pulau Undan saya sangat teruja lihat keindahan alam semula jadi di sini. Memang saya aktif dalam sukarelawan sebelum ini tetapi untuk sampai ke pulau ini belum pernah.
“Saya tawarkan diri dan ikhlas untuk membersihkan pulau-pulau ini kerana saya tahu ia memberikan impak yang baik kepada pengunjung yang datang ke sini.
“Selain membersihkan kawasan pulau saya juga dapat bertamu kawan dan pengalaman baharu.
“Nasihat saya kepada generasi muda hargailah alam semula jadi kita, jangan suka buang sampah merata-rata kerana ia boleh menjejaskan hidupan laut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Bagi Amar Fitri Azman,33, program berkenaan melatih anak muda supaya tahu tentang tanggungjawab menjaga alam semula jadi.
Katanya, ketika kerja pembersihan dilakukan dia dan rakan-rakan menemui banyak botol, bekas makanan yang dibuang merata tempat.
“Bukan itu sahaja terdapat juga jaring menangkap ikan yang dipasang di kawasan sudah diwartakan ini, sudah tentu ia boleh mencederakan hidupan laut yang ada.
“Pesanan saya kalau dah pergi berkhemah tu jangan tinggalkan sisa-sisa sampah, kalau boleh bawa balik semula,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.