Sorting by

×

Jadi ‘bidan’ selamatkan anak lembu songsang

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER LIMAU 6 Mac – Meskipun dalam keadaan terkejut dan was-was, seorang lelaki warga emas berjaya menyelamatkan anak lembu yang dilahirkan songsang hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Khalid Hassan, 62, berjaya menarik keluar anak lembu yang sukar untuk diteran keluar oleh ibunya kerana dalam keadaan songsang.

Dia berkata, melalui pengalaman menternak lembu selama 40 tahun, dia sudah menjangka lembu betina berusia enam tahun itu akan melahirkan anak pada bila-bila masa berdasarkan keadaan perutnya.

“Semasa saya membersihkan kandang yang dibahagikan kepada enam seksyen, saya dapati ibu lembu itu sudah meneran anak tetapi kali ini saya dapati ia pelik kerana anaknya sukar untuk keluar.

“Saya terkejut apabila mendapati anak lembu dalam keadaan songsang dan saya segera menarik kaki belakangnya dan dalam tempoh kira-kira dua minit, baharulah ia berjaya ditarik keluar,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Ayer Limau, di sini.

Khalid yang memiliki 30 lembu dan dua kerbau berkata, dia bernasib baik kerana kedua-dua kaki belakang anak lembu sudah keluar sedikit dan ia meringankan tugas menarik haiwan itu keluar.

Jika hanya satu kaki anak lembu yang keluar, Khalid menjangka keadaan akan bertambah rumit dan kemungkinan besar dia tidak mampu menarik keluar haiwan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya berjaya menarik sebahagian daripada uri tetapi terputus sebelum masuk semula ke dalam lembu betina itu tetapi dengan memberikan suntikan khas, insya-Allah uri yang tertinggal akan keluar bersama najis lembu,” katanya.

Dia berkata, sepanjang 40 tahun menternak lembu dan kerbau, ia adalah kejadian pertama dialaminya berbanding ibu lembu yang melahirkan anak secara normal sebelum ini.

KHALID memberi susu kepada anak lembu yang
dilahirkan dalam keadaan songsang di kandangnya di Kampung Ayer Limau. Foto Din Ahmad

Katanya, jika ibu lembu itu mati ketika melahirkan anak, dia bakal kerugian kira-kira RM7,000.

Khalid berkata, dia amat bersyukur kerana sejam selepas dilahirkan, anak lembu itu mampu berdiri sebelum segera memerah susu ibu lembu untuk diberikan kepada anak lembu berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post COVID-19: 33,406 kes baharu, lebih 27,000 sembuh
Next post KPT dicadang gubal dasar baharu TVET – PM
Ubah saiz-+=