Jabatan Perikanan tahan empat nelayan
BANDAR MELAKA 14 Jun – Jabatan Perikanan Melaka (JPM) menahan empat nelayan tidak berlesen dalam operasi di perairan pesisir pantai Bukit Punggur, di sini, semalam.
Operasi dijalankan pegawai jabatan itu susulan aduan diterima berhubung kegiatan nelayan tidak berlesen menangkap ikan serta menggunakan peralatan tidak dibenarkan.
Pengarahnya Mohd Fauzi Solehon berkata, hasil operasi pihaknya menahan empat nelayan, masing-masing dua tekong dan dua awak-awak yang menggunakan dua perahu gentian kaca.
Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan tekong dan awak-awak di perairan 0.75 batu nautika dari pesisir pantai Bukit Punggur pada jam 1 tengah hari kerana menangkap ikan tanpa lesen dan perahu yang digunakan bukan milik sendiri.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu pukat hanyut, dua bakul rawai (alat menangkap ikan menggunakan mata kail) dan satu enjin motor sangkut 15 kuasa kuda pada perahu berkenaan.
Katanya, tangkapan kedua membabitkan tekong dan awak-awak di perairan 0.35 batu nautika dari pesisir pantai yang sama pada jam 1.15 tengah hari kerana menangkap ikan tanpa lesen.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu pukat hanyut, dua bakul rawai dan satu enjin motor sangkut 15 kuasa kuda pada perahu tanpa nombor pendaftaran itu.
Mohd Fauzi berkata, keempat-empat nelayan berusia antara 25 hingga 35 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 dan peralatan serta perahu terbabit disita.
“Kesalahan mengikut akta itu ialah mengusahakan aktiviti penangkapan ikan, mengendalikan atau membenar dikendalikan vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan di perairan perikanan negara tanpa lesen.
“Kami menerima aduan ada nelayan menggunakan peralatan yang menyebabkan kematian hidupan marin yang terancam seperti penyu dan ikan lumba-lumba di perairan negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perikanan akan membuat keputusan sama ada akan mendakwa mereka atau menawarkan kompaun, katanya.
Jumaat lalu, bangkai ikan lumba-lumba berusia 15 tahun dengan berat 250 kilogram dan sepanjang 2.55 meter, dijumpai terdampar di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini.
Spesies terancam itu dipercayai mati akibat tersangkut pada jaring berikutan siasatan pegawai jabatan itu mendapati ada kesan kecederaan pada kepala ikan, dipercayai akibat terkena pukat nelayan.
Spesies berkenaan dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 dan sesiapa yang menangkapnya boleh dikenakan tindakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.