Sorting by

×

Jabatan Perikanan sedia perluas projek penternakan ikan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LINGGI 15 Dis – Jabatan Perikanan Melaka akan memperluas projek penternakan ikan tilapia air payau ke kawasan lain jika projek di perairan Kuala Linggi, di sini berjaya.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramli berkata, sebagai permulaan, projek penternakan ikan itu sudah dimulakan di Kuala Linggi tiga bulan lalu dan ikan sudah dilepaskan ke dalam sangkar semalam.

Katanya, jabatan berkenaan memperuntukkan lebih RM400,000 bagi membina 64 sangkar ikan yang setiap satu berukuran 3×4 meter di perairan Kuala Linggi, iaitu lokasi pertembungan antara air masin laut dengan air tawar Sungai Rembau.

“Kami memilih 16 nelayan sungai di Pangkalan Paya Lebar, Telok Berembang, Ramuan Cina, Linggi dan Tebing Urut serta nelayan pinggir laut di Kuala Linggi untuk memastikan projek ini berjaya.

“Setiap peserta mempunyai tugas masing-masing memelihara ikan tilapia air payau antara tiga hingga empat bulan sebelum mencapai saiz paling sesuai untuk dipasarkan,” katanya ketika meninjau projek berkenaan hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon dan Timbalannya, Nawar Abdul Karim serta nelayan yang terbabit dalam projek berkenaan.

AHMAD Tarmidzi Foto Din Ahmad

Ahmad Tarmidzi berkata, dengan kadar kemasinan air antara 10 hingga 15 di perairan itu berbanding 30 di laut, ikan tilapia merah sesuai hidup dalam air payau dan rasanya lebih lazat berbanding tilapia air tawar.

Sebanyak 70,000 anak ikan tilapia dilepaskan ke dalam 64 sangkar yang petak sangkarnya diperbuat daripada besi tahan karat manakala jaringnya diperbuat daripada nylon tahan
rendaman dalam air payau.

“Projek seumpama ini sudah dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Kelantan dan Perak dan di Kuala Linggi adalah yang pertama seumpamanya di Melaka.

“Jika nelayan di sini mampu membuktikan kejayaan memelihara dan memasarkan ikan itu dengan baik, insya-Allah kami akan mencari perairan di kawasan lain yang sesuai untuk projek ini bagi membantu memajukan nelayan,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan sudah dirancang beberapa tahun lalu tetapi tidak mampu dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Katanya, bagi memastikan projek perintis itu berjaya, pegawai jabatan berkenaan akan sentiasa memantau tugas peserta projek dan kesihatan ikan peliharaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post Speaker tegur insiden wakil rakyat bawa ayam ke Sidang DUN Perak
Next post Pergerakan penumpang domestik MAHB melonjak kepada 2.3 juta pada November
Ubah saiz-+=