Sorting by

×

Jabatan Perikanan bakal perluas ternakan ikan, kupang dan kerang tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER MOLEK, 21 Feb – Jabatan Perikanan Negeri Melaka bercadang memperluas aktiviti penternakan ikan, kupang dan kerang bagi membantu komuniti nelayan di negeri ini.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon berkata, ia termasuklah projek perintis ternakan ikan talapia air payau di Kuala Linggi melibatkan pembinaan 64 sangkar selain penternakan kupang dan kerang di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sebatu.

“Projek sangkar ikan di Linggi sahaja mencecah hampir RM600,000 dan kita menjangkakan pengusaha kita akan capai pulangan hampir lebih RM2,000 sebulan.

“Bagi projek panggar kupang, kita telah membina dan membantu di mana kita membelanjakan sejumlah peruntukan yang tahun lepas sahaja hampir RM400,000.

“Jabatan juga memohon kepada kementerian berkaitan untuk mendapatkan peruntukan bagi menjalankan projek ternakan kerang di perairan ZIA Sebatu tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Lesen Sampan Khas Negeri Melaka kepada 45 orang nelayan di negeri ini, hari ini.

Program itu dirasmikan EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Katanya, projek itu mampu meningkatkan ekonomi nelayan dengan sasaran peserta meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan berdasarkan permintaan yang sangat tinggi ketika ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Lapan premis diserbu tawar khidmat kecantikan tidak bertauliah
Next post TYT, Ketua Menteri menghadap Sultan Selangor
Ubah saiz-+=