Sorting by

×

Jabatan Pendaftaran Negara sedia bantu Halim Othman

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

JASIN 23 April – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia membantu pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman bagi menangani isu yang menimpa dirinya ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya sedia memberikan khidmat nasihat dan panduan berkenaan identiti anaknya yang tidak berbintikan nama Halim.

Menurutnya, Halim hanya perlu tampil ke ibu pejabat JPN di Putrajaya bersama dokumen berkaitan bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti kaedah terbaik menangani isu yang timbul.

“Kita minta Halim datang ke JPN Putrajaya dan kita sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan dalam menyelesaikan isu rumit yang dihadapi beliau ketika ini.

“Pihak JPN akan bantu apa yang sepatutnya dan saya minta Halim bawalah dokumen penting misalnya sijil perkahwinan yang didaftar di Thailand, tanpa dokumen seperti ini kita sukar untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Kongsi Rezeki Ramadan dan mengagihkan bubur lambuk di hadapan pejabat JPN Jasin Daerah di sini, semalam.

RUSLIN melancarkan Program Kongsi Rezeki Ramadan dan edaran bubur lambuk anjuran JPN sambil diperhati Norazle (kanan)

Sebanyak 900 pek bubur lambuk diedarkan pada program itu secara pandu lalu oleh kakitanga JPN dan turut disertai Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman.

Baru-baru ini , pelakon Myra Natasya mendedahkan bahawa dirinya merupakan anak tunggal kepada Halim Othman.

Pendedahan itu sekali gus mengundang kontroversi memandangkan Myra berbintikan Abdullah bukan Halim.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, menurut Ruslin, pihaknya perlu meneliti dokumen berkaitan isu itu sebelum boleh mengenal pasti kaedah terbaik bagi membantu Halim berhubung masalah yang timbul.

“Kita harap pihak yang terlibat dalam ini dapat tampil ke ibupejabat JPN bagi merujuk isu ini terlebih dahulu dan bawa sekali dokumen penting, tanpanya kita tidak dapat bantu apa-apa,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya telah memproses lebih 50,000 permohonan di bawah Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) setakat ini.

Ujar Ruslin, pihaknya akan sentiasa mempergiatkan program yang sama termasuk khidmat Bas Mekar JPN bagi memastikan rakyat mudah mengakses kemudahan yang disediakan jabatan itu.

“Ini bagi memastikan tiada rakyat yang lahir di negara ini yang tercicir dari menikmati kemudahan yang sewajarnya terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Kita tidak mahu lagi ada kes kelahiran anak lewat didaftarkan iaitu lebih daripada had tempoh 60 hari ditetapkan, malah ada juga satu dua kes warga emas yang mencapai usia 60 lebih tetapi tiada pengenalan diri,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran program Mekar, katanya, tiga buah bas Mekar disediakan dimana setiap satunya menampung keperluan dan permintaan di Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1474
Kongsi :
Previous post Tahanan Rohingya lolos: Dua dalang utama ditahan, dua masih dikesan
Next post Singapura sambung semula perkhidmatan bas, teksi rentas Malaysia mulai 1 Mei
Ubah saiz-+=