ITP sedia bantu golongan minat bidang keusahawan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 18 Feb. – Institut Tun Perak (ITP) bersedia mengadakan pelbagai kursus keusahawan baharu yang lebih spesifik mengikut cita rasa orang ramai pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, langkah itu antara inisiatif pihaknya untuk melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini mengikut bidang diceburi.

“Untuk permulaan tahun ini kita adalah kursus keusahawanan atas talian dan digital, selepas ini akan disusuli dengan kursus lebih fokus kepada bidang yang mereka ceburi.

“Contohnya kursus masakan, kursus membuat kraftangan, kursus jual makanan secara online dan banyak lagi,” katanya.

Beliau dihubungi Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Kursus Keusahawanan Atas Talian dan Kursus Keusahawanan Digital secara atas talian menerusi aplikasi zoom, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali hari ini.

Sabri berkata, semua data peserta yang dikumpul hari ini akan memudahkan ITP menghubungi mereka untuk inisiatif selanjutnya.

“Selepas ini akan ada kursus lebih spesifik kepada bidang apa yang diceburi mereka.

“Ini salah satu daripada 40 ‘touch point’ Belanjawan Negeri Melaka 2021 untuk membantu usahawan negeri memperluaskan perniagaan mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, seramai 325 peserta menyertai kursus selama dua hari itu, membabitkan 140 peserta kursus usahawan dan 185 peserta bagi kursus digital.

“Pada 10 April tahun ini, kita akan sekali lagi mengadakan kursus keusahawanan dan keusahawanan digital ini, kita doakan mungkin secara fizikal, tertakluk kepada keadaan dan SOP (prosedur operasi standard) mengizinkan, sewaktu berlangsungnya Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka 2021.

“Karnival itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka, melalui ITP dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka akan diadakan secara berkala, bermula April ini di daerah Masjid Tanah, diikuti Melaka Tengah pada pertengahan tahun dan Jasin di penghujung tahun ini,” katanya.

Views:

510
Kongsi :
Previous post ‘Tokan’ dadah kepada warden penjara dan suami diberkas
Next post Koridor M-WEZ sedia lebih 10,000 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=