Sorting by

×

ITBM lantik Sakri Abdullah sebagai pengarah urusan/CEO

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 12 Mac. – Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melantik Sakri Abdullah sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM Sabri Azit berkata pelantikan Sakri adalah langkah tepat dalam memastikan segala usaha dan hala tuju untuk ITBM kembali memperkasakan fungsi asal penubuhannya pada 1993 bergerak lancar.

“ITBM akan memberi fokus penuh kepada peranan asalnya iaitu khidmat terjemahan, kejurubahasaan, latihan serta menawarkan khidmat penerbitan secara komersial selain mengukuhkan fungsi untuk menjadi badan payung dalam industri terjemahan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ia satu tanggungjawab yang mencabar tetapi dengan sokongan semua pihak, kami yakin ITBM akan menjadi organisasi yang lebih kukuh serta mampu menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti sekali gus membentuk budaya serta modal insan yang lebih berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pelantikan Sakri sebagai CEO selepas lebih dua tahun jawatan itu kosong jelas membuktikan kedudukan dan keberadaan ITBM dalam industri kekal relevan dan kembali meraih perhatian serta kepercayaan kerajaan untuk terus menyumbang peranan memperkasakan bidang penterjemahan negara.

Sakri yang berkelulusan Sarjana Pendidikan daripada Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (kini dikenali sebagai Universitas Negeri Makasar), Ujung Padang, Indonesia, mempunyai pengalaman 26 tahun berkhidmat di ITBM.

Beliau memulakan kerjaya di ITBM pada 1995 sebagai Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Perniagaan dan sejak itu menjawat pelbagai jawatan, antaranya Ketua Unit Jualan dan Pemasaran, Ketua Unit Penerbitan, Ketua Jabatan Terjemahan dan Penerbitan serta Ketua Jabatan Penerbitan sebelum menyandang jawatan Pengurus Besar pada 2014 dan memangku jawatan Pengarah Urusan sejak 15 Oktober 2018.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1860
Kongsi :
Previous post Rumah kongsi diserbu, 30 PATI ditahan
Next post Projek pengindahan jejambat MITC siap hujung bulan ini
Ubah saiz-+=